Akan Datang... Di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

Akan Datang... Di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, Malaysia.
Laman web tiket: www.ticket2u.biz

Tiket Pementasan Upin & Ipin the Musical Kini Dijual!!!

Tiket Pementasan Upin & Ipin the Musical Kini Dijual!!!
Tiket persembahan kini dijual di 11 cawangan Ticket2u, kaunter Box-Office Istana Budaya serta secara online. Sila Klik pada imej ini untuk membeli tiket secara online

Dalam Media

 


Oleh Normah Becok

pix_gal0KEPADA sesiapa yang berasakan dirinya berbakat dalam lakonan dan nyanyian, serta berminat dalam persembahan teater, inilah masanya untuk membuktikan kebolehan berkenaan.

Les Copaque Production Sdn Bhd dan CTRA Production khabarnya akan mengadakan sesi uji bakat bagi mencari pelakon teater Muzikal Upin & Ipin yang bakal dipentaskan di Istana budaya dari 14 April hingga 6 Mei tahun depan.
Sesi uji bakat itu akan diadakan pada 13 Disember ini, jam 10 pagi, bertempat di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Selaian pandai berlakon, menari dan menyanyi, calon yang berminat juga perlulah berumur antara 10 hingga 25 tahun serta tiada masalah kesihatan.

Difahamkan juga, mereka yang terpilih akan menjalani latihan pesat selama beberapa bulan, sehinggalah pementasan sebenar diadakan.

Selain itu, Cik Normah juga diberitahu, tiket muzikal Upin & Ipin laris bagai pisang goreng panas. Walaupun hanya akan dipentaskan pada April nanti, tetapi tempahan sudah pun dibuka sejak bulan lalu, kalau tak silap Cik Normah.

Nasib baik Cik Normah tak ada anak kecil, kalau tidak, gerenti Cik Normah akan bawa dia menonton muzikal ini. Maklumlah, semua kanak-kanak boleh dikatakan menggemari karakter dua budak lelaki comel terbabit. Silap hari bulan, anak tak seberapa tapi mak dia pula yang lebih-lebih.
Memandangkan Cik Normah tak ada anak sendiri, mungkin Cik Normah mempertimbangkan untuk membawa anak-anak buah Cik Normah yang memang peminat setia dua kembar ini.

Oh, minta maaf melalut pula Cik Normah. Berbalik kepada sesi uji bakat tadi, bagi mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenainya bolehlah hubungi 017-2004249 atau 03-61866592. Mereka juga boleh melayari Facebook Upin dan tahun depan.




02/12/2011: Upin, Ipin bakal cipta rekod

UPIN & Ipin versi berbeza dari animasi.

UPIN & Ipin the Musical telah diuar-uarkan sebagai teater yang bakal mencipta rekod negara jika berjaya dipentaskan sebanyak 30 persembahan tanpa henti mulai April – Mei tahun depan di Istana Budaya.
Bagi tujuan itu, persiapan telah dan sedang rancak dilakukan oleh Les Copaque Sdn. Bhd. dan rakan kongsinya, CTRA Production sejak hampir setahun lalu.
Seramai 60 pelakon pelbagai bangsa dan berusia antar 6 – 30 tahun telah dipilih setelah melalui proses tapisan yang ketat manakala latihan juga telah diadakan sejak dua bulan lalu.
Pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan bagi memastikan impian tersebut menjadi nyata.
Namun, bagi sesetengah orang menunggu kehadiran bulan April 2012 rasanya masih jauh lagi sehingga ada di antara mereka yang tidak sabar untuk menyaksikan pementasan tersebut.
Justeru, atas permintaan ramai sempena musim cuti sekolah ini siri animasi terkenal tanah air itu akan dipersembahkan dalam bentuk mini teater (showcase) di Muzium Negara, Kuala Lumpur mulai 3 hingga 25 Disember ini.
Menurut Penerbit Eksekutifnya, Siti Rohayah Attan, persembahan 30 minit itu diadakan bagi memberi peluang kepada khalayak mengenali Upin, Ipin dan rakan-rakan serta penduduk Kampung Durian Runtuh dalam genre yang berbeza.
“Selama ini kita didedahkan dengan siri animasi dan maskot Upin & Ipin saja tetapi kali ini kami membawakan watak-watak tersebut secara nyata iaitu kanak-kanak yang menjadi pelakonnya.
“Dalam masa yang sama kami ingin melihat reaksi sejauh mana kanak-kanak atau penonton menerima watak-watak animasi ini dalam bentuk yang berbeza,” katanya.
Bagi tujuan itu pihak produksi telah memilih 10 kanak-kanak untuk menjayakan showcase tersebut.
Mereka ialah Ahmad Zaidyyansjah Ruddyyanshah (Upin), Anas Shafiq Othman (Ipin), Amir Johan Nadim (Ijat), Johan Gulam Ghani (Ehsan) dan Imran Waris Olanipekun (Jarjit).
Turut terlibat ialah Anis Eixora Amir Hamzah (Susanti), Ummu Najian Mohd Zaidi (Mei Mei), Fariz Azim Mohd Katrim (Fizi) dan Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril (Dzul).
“Sebanyak lima lagu digunakan unruk persembahan ini iaitu Sahabat dan Membaca yang dinyanyikan oleh Kumpulan Padi dari Indonesia manakala Gosok Gigi, Mari Bermain dan Selamat Pagi dicipta oleh Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).
“Pelakon akan menyanyi, menari dan berlakon dalam teater yang dikoreografikan oleh A. Aris Kadir manakala penulis skrip dan pengarah teater ialah Zaifri Husin,” tambah Siti Rohayah.
Menurut beliau, para penonton juga berpeluang untuk naik ke pentas bersama-sama pelakon bagi memeriahkan showcase tersebut.
Persembahan yang diadakan sempena karnival Jejak Upin& Ipin di Muzium Negara itu bagaimanapun akan hanya menemui penonton pada setiap Sabtu dan Ahad saja pukul 12 tengahari dan 3 petang.
Penonton hanya perlu menunjukkan pas yang telah digunakan untuk masuk dewan ke pameran bagi menyaksikan persembahan tersebut.
Keterangan lanjut mengenai showcase dan teater boleh hubungi 03-61866592/ 017-2004249



Harian Metro7/11/11: Sejarah tersendiri Upin & Ipin
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my 


TANPA mempertaruhkan barisan pelakon terkenal, pementasan muzikal teater Upin & Ipin bakal melakar sejarah tersendiri kerana menjadi teater pertama yang dipentaskan di negara ini sebanyak 30 persembahan tanpa henti dalam tempoh 22 hari.
Siri Upin & Ipin The Musical yang membabitkan kos hampir RM3 juta juga berjaya menghimpunkan serta mencungkil bakat hampir 70 pelakon kanak-kanak dan remaja untuk diketengahkan, sekali gus menampilkan beberapa elemen baru dalam mencipta sejarah teater tempatan.
Penerbit Eksekutifnya, Siti Rohayah Attan berkata, sepanjang pengetahuannya, belum ada teater yang dipentaskan tanpa henti sebanyak 30 persembahan setakat ini. Kalau ada pun teater yang dipentaskan mungkin sebanyak 28 persembahan saja, tetapi mereka ‘bercuti’ pada Isnin atau Ahad.

Katanya, perkara ini tidak pernah dilakukan kerana pihak produksi pasti bimbang pelakon akan keletihan atau mengalami masalah kesihatan sehingga boleh mengganggu kelancaran pementasan.
 
“Bagi mengatasi perkara ini, kami mengambil keputusan membentuk dua kumpulan bagi memegang watak utama. Mereka akan mengadakan persembahan secara berganti di mana setiap kumpulan me�ngadakan 15 persembahan.

“Lebih menarik, pihak kami memilih pelakon yang berbilang kaum seperti konsep cerita karakter adik-beradik kembar siri animasi popular, Upin & Ipin yang asal,” katanya.

Ditanya kenapa berani mengetengahkan barisan pelakon baru termasuk pelajar Aswara, kata Siti Rohayah, buat masa ini, pihaknya percaya pementasan muzikal itu tidak memerlukan pelakon popular sebagai tarikan komersial kepada penonton.

Ia kerana Upin & Ipin sendiri adalah produk Malaysia yang sudah berjaya mencetuskan fenomena luar biasa serta mempunyai pengikutnya sendiri termasuk di luar negara.

“Jika ada keperluan dan permintaan daripada peminat sendiri, kami bersedia mempertimbangkan untuk menampilkan artis popular sebagai pelakon undangan dalam teater ini nanti,” katanya.

Kata Siti Rohayah, barisan pelakon muzikal Upin & Ipin sudah giat menjalani latihan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak sebulan yang lalu.

“Walaupun pementasan ini masih jauh lagi, kami melihat tempoh lima bulan lagi itu terlalu singkat bagi produksi Les Copaque Production Sdn. Bhd dan CTRA Production untuk merealisasikannya seperti direncanakan.

“Menariknya, pemilihan dua kumpulan pelakon membabit�kan kumpulan kanak-kanak berusia dari sembilan hingga 13 tahun. Manakala, kumpulan kedua adalah pelakon remaja yang membawakan watak kanak-kanak. Watak yang akan ‘berganda’ ialah Upin, Ipin, Jarjit, Mei Mei, Fizi, Ehsan, Mail, Susanti dan Ijat,” katanya.

Kata Siti Rohayah lagi, konsep ‘under studies’ yang diamalkan sesetengah produksi yang mengadakan persembahan panjang tidak sesuai diamalkan kerana ia akan mengecewakan pelakon yang tidak dapat beraksi sedangkan mereka menjalani latihan yang lama.

“Sekalipun pihak kami melabur kos yang tinggi bagi menjayakan pementasan muzikal ini tapi kepuasan dan stamina pelakon menjadi keutamaan kepada produksi.

“Pementasan ini mendapatkan khidmat Zaifri Husin sebagai Pengarah dan Penulis Skrip, Datuk Suhaimi Mohd Zain sebagai Pengarah Muzik serta A.Aris Kadir sebagai koreografer,” katanya.

Menyentuh jualan tiket setakat ini, kata Siti Rohayah, ia sudah mula mendapat sambutan dari peminat teater tempatan kerana ia dijual pada harga murah dan berpatutan.

Bagaimanapun, seperti penerbit teater lain, Siti Rohayah mengakui jualan tiket saja tidak mampu membiayai kos keseluruhan pementasan berkenaan.

“Sehubungan itu, pihak kami berharap ada syarikat korporat atau mereka yang berminat di luar sana untuk menaja atau membeli tiket secara pukal untuk tampil bersama-sama mencipta sejarah bagi produk kebanggaan Malaysia ini,” katanya.

Upin & Ipin The Musical menceritakan perjalanan Upin, Ipin dan kawan-kawan yang mahu menggembirakan Puteri Cinonit. Ini kerana Puteri Cinonit yang ketiadaan ibu bapa hidup dalam kemurungan dan cemburu dengan kegembiraan Upin & Ipin.

Semasa perjalanan ke dunia lain, Upin & Ipin dibawa ke angkasa lepas, ke tengah lautan dan hutan belantara.

Upin & Ipin The Musical bakal dipentaskan di IB, Kuala Lumpur bermula 14 April hingga 6 Mei tahun depan. Keterangan lanjut mengenai pementasan ini boleh layari www.ticket2u.biz atau facebook Upin & Ipin the Musical.

Kepada peminat siri Upin & Ipin, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pementasan muzikal ini nanti. Peminat juga boleh menjayakan showcase Upin & Ipin The Musical lebih awal apabila kumpulan ini mengadakan persembahan di Karnival Jejak Upin & Ipin di Muzium Negara mulai 25 November hingga 30 Disember ini.

 

5/8/11: Upin Ipin ke pentas teater


Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ

FENOMENA kejayaan siri kartun tempatan, Upin & Ipin benar-benar mengubah landskap industri animasi negara apabila ia berganjak ke satu tahap lebih tinggi berbanding lima tahun lalu.
Mohamed Juhari bersama maskot Upin & Ipin ketika sidang akhbar Upin & Ipin the Musical di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setelah berjaya mencatat kutipan box-office sebanyak RM6.2 juta menerusi filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula yang turut menampilkan karakter Upin & Ipin pada 2009, kini produksi Les' Copaque Sdn. Bhd., muncul pula dengan idea baru yang mahukan animasi tersebut dibawa ke pentas teater.
Justeru, hasrat Penerbit Eksekutif produksi berkenaan, Burhanuddin Radzi itu disambut baik oleh Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Mohamed Juhari Shaarani atau mesra disapa sebagai Abang Joe.
Menurut Abang Joe, telah lama beliau berhasrat melihat kelibat kedua-dua anak kecil yatim piatu itu menggamatkan Panggung Sari dengan keletah dan kenakalan mereka yang ditonjolkan menerusi siri Upin & Ipin di kaca televisyen.
Bersandarkan persetujuan bersama Upin & Ipin the Musical (UItM) bakal dipentaskan pada April 2012.
Menurut Abang Joe, dengan berlangsungnya UItM di pentas itu kelak, ia umpama pucuk dicita, ulam mendatang kerana dia begitu meminati siri kartun comel itu.
"Secara peribadi, saya sendiri menggemari siri animasi ini kerana gelagat dua budak botak ini benar-benar mencuit hati saya.
"Ia secara tidak langsung mengingatkan kembali kepada zaman kanak-kanak saya dahulu.
"Sebab itulah, saya yakin UItM mampu mencipta fenomenanya sekali lagi seperti mana yang pernah dilakukan sebelum ini menerusi siri dan filemnya," ujar Abang Joe yang senantiasa ceria itu.
Dalam pada itu, Burhanuddin pula berkata, sudah dua tahun dia memikirkan untuk membawa karya tersebut ke pentas teater.
Cuma, hanya sekarang ia sesuai untuk dipentaskan kerana pada masa itu, dia merasakan agak klise apabila semua karya yang popular ketika itu mahu dijadikan muzikal.
"Lebih-lebih lagi, saya memang cerewet tentang cerita yang ingin dibawa.
"Saya mahukan sesuatu yang memberi manfaat kepada penonton terutamanya kanak-kanak," katanya.
Burhanuddin memberitahu, kesemua sembilan watak utama yang terdapat dalam siri tersebut akan dibawa naik ke atas pentas. dengan menggunakan maskot setiap karakter.
Maskot bagi watak Upin, Ipin, Mei Mei, Ehsan, Jarjit, Fizi, Ros, Mael dan Rajoo akan dihidupkan apabila setiap satunya diberi suara asal karakter berkenaan menerusi teknik miming yang dirakamkan terlebih dahulu.
Pada sidang akhbar tersebut, turut diumumkan, Siti Rohayah Atan akan bertindak selaku penerbit, Zaifri Husin sebagai pengarah dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain pula menggalas posisi sebagai pengarah muzik.
Tambah Burhanuddin, sesi uji bakat bagi mencari pelakon teater itu akan diadakan pada 13, 14, 20 dan 21 Ogos ini bertempat di IB pada pukul 10 pagi hingga 3 petang. Ia terbuka kepada mereka yang berusia enam hingga 35 tahun.





Upin & Ipin The Musical!



 Upin & Ipin ke pentas pula? Bagaimana jadinya ya? Yang pasti krew MyFriends2u memang teramatlah teruja untuk menantikan Upin Ipin ke pentas teater.Bayangkan dengan maskot yang di pakai kemudian berlakon,berlari dan sebagainya.Mesti meriah pentas Istana Budaya.
 


 





 
Dijangkakan Teater Upin & Ipin Musical ini akan ke pentas Istana Budaya pada April 2012 ini akan di arahkan oleh Zaifri Husin yang juga merupakan penulis skripnya. Teater terbitan Les’Copaque Production Sdn Bhd ini berganding dengan CTRA Productions dan Istana Budaya sendiri untuk menjadikan mimpi menjadi kenyataan.Seperti kata Encik Mohamed Juhari Shaarani, atau lebih mesra dengan panggilan Abang Joe, Ketua Pengarah Istana Budaya bila lagi produksi di Malaysia ini membuat animasi ke pentas teater? Beliau sendiri rasa kecewa melihat Lion King terlebih dahulu ke pentas teater kerana pada beliau Upin & Ipin sepatutnya di pentaskan lebih awal lagi.Maka sekarang impian itu menjadi kenyataan lebih-lebih lagi buat Haji Burhanuddin Md Razi sebagai penerbit eksekutif yang sebelum ini telah mencuba untuk mementaskan teater Upin & Ipin tetapi tidak berjaya.

Rasanya tidak perlu krew MyFriends2u menguraikan sinopsis Upin & Ipin ini kepada anda kerana pastinya anda sudah tahu jalan cerita mereka.Yang pasti watak-watak utama seperti Upin&Ipin,Kak Ros,Opah,Mei-Mei,Ehsan,Jarjit,Fizi,Tok Dalang,Ijat,Dzul,Rajoo,Cikgu Jasmin,Nurul dan Priya akan mengegarkan Istana Budaya.

Pelakon cilik yang meminjamkan suaranya untuk watak Upin & Ipin ini,adik Asyiela Putri Azhar amat berbangga kerana tidak menyangka beliau sendiri terkena tempias Upin & Ipin.Di sekolah rakan-rakan beliau dan juga guru-guru sekolah memang memberi sokongan penuh kepadanya.Untuk muzikal ini nanti,adik Asyiela akan merakamkan terlebih dahulu suaranya kemudian akan digunakan untuk teater ini.



Untuk pengetahuan anda diluar sana pihak CTRA Productions akan mengadakan sesi uji bakat untuk pelakon Upin & Ipin The Musical.Di bawah adalah tarikh dan syarat-syarat yang diberikan :-


13 Ogos 2011 – Sabtu – 10 pagi sehingga 3 petang di Istana Budaya KL.

14 Ogos 2011 – Ahad – 10 pagi sehingga 3 petang di Istana Budaya KL.
20 Ogos 2011 – Sabtu – 10 pagi sehingga 3 petang di Istana Budaya KL.
21 Ogos 2011 – Ahad – 10 pagi sehingga 3 petang di Istana Budaya KL.

Syarat-syarat uji bakat :-

1.Umur : 6 – 35 tahun
2. Jantina : Lelaki & Perempuan
3. Boleh menari,menyanyi dan berlakon
4. Sihat & lincah
5. Semua bangsa

Kalau anda rasa anda layak dan sesuai,anda boleh pergi mencuba sesi ujibakat yang bakal diadakan itu.Selain dari itu anda boleh layari www.lescopaque.com , www.ctraproduction.blogspot.com dan facebook https://www.facebook.com/pages/Upin-Ipin-the-Musical/129353763822976 . Tahniah dari kami di MyFriends2u buat seluruh team produksi kerana berjaya membawakan animasi ke pentas teater. Tak sabar rasanya untuk melihat hasilnya. Good luck and all the best!

Upin & Ipin The Musical Muncul Di IB Tahun Depan


Teks Oleh: zyzamani
Foto Oleh: Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 1 OGOS 2011: Selepas berjaya mencetuskan fenomena menerusi drama bersiri dan filem, animasi popular Upin & Ipin bakal beraksi di pentas berprestij dunia, Istana Budaya (IB) pada awal tahun hadapan.
Berkonsepkan teater muzikal, Penerbit Bersama, Siti Rohayah Attan berkata, Upin & Ipin The Musical akan tampil dengan sebuah kelainan apabila membawa maskot sebagai tunjang utamanya di pentas.
"Ini merupakan teater pertama yang menggunakan maskot sebagai pelakon utama. Belum pernah lagi diadakan, selalunya teater menggunakan costume sahaja. Selain maskot, kita akan gabungkan ianya berlakon bersama costume. Barulah, ia nampak seimbang dan menarik apabila dipentaskan nanti," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media, Upin & Ipin The Musical di IB, baru-baru ini.
Menjanjikan sebuah jalan cerita yang menarik, kata Siti Rohayah lagi, penonton akan di bawa mengembara ke alam angkasa, lautan dan belantara. Malah bagi menimbulkan suasana menarik itu, semestinya pelbagai idea kreatif akan disuntik bagi memperindahkan jalan cerita serta penyajian costume dan props yang hebat.
"Kami akan membawa penonton mengembara ke alam fantasi. Untuk memastikan semua itu berlaku pastinya props penting bagi menimbulkan mood tersebut. Malah, penyediaan costume yang menarik juga membantu untuk menwujudkan suasananya kelak," katanya bujet muzikal itu sebanyak RM 2 juta.
Teater terbitan Les Copaque Production Sdn Bhd, dengan kerjasama CTRA Production dan IB ini bakal diarahkan oleh Zaifri Husin yang juga merupakan penulis skripnya manakala Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah pula tampil selaku pengarah muzik.
Sementara itu, penerbit eksekutif Les Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, sekiranya pementasan di IB berjaya, perancangan seterusnya adalah untuk membawa muzikal berkenaan ke pasaran luar pula.
"Selalunya, apa yang kita buat memang sukses jadi saya yakin muzikal juga akan begitu. Selepas ini, kita akan membawa pula muzikal ini ke Singapura, Brunei, Indonesia dan kemungkinan juga ke Filipina," katanya lagi.
Ditanya mengapakah idea pembikinan teater muzikal tersebut mengambil masa yang begitu lama untuk direalisasikan memandangkan watak animasi itu telah pun 4 tahun dikenali ramai, kata Burhanuddin lagi, tiada pihak yang berjaya menawan hatinya untuk mempersembahkan sebuah idea yang menarik.
"Ada ramai yang cuba pelawa nak buat teater muzikal tapi saya tak yakin dengan mereka. Malah ada produksi seberang yang mahu buat namun perancangan itu gagal kerana tak kena dengan apa yang saya mahu dan tak sampai peringkat yang saya harapkan.
"Tetapi Rohayah berjaya berikan apa yang saya mahu dan mengikut citarasa yang saya inginkan. Barulah saya selesa mahu menghasilkan muzikal ini,"katanya lagi.
Dalam pada itu, kata Burhanuddin, pihak produksi kini sedang mencari pelakon untuk menyertai barisan teraju muzikal tersebut. Bagi yang berminat bolehlah menghadiri sesi ujibakat yang akan diadakan di IB pada 13, 14, 20 dan 21 Ogos ini jam 10 pagi sehingga 4 petang.
Ujibakat terbuka kepada kanak-kanak dan dewasa berusia 6 sehingga 35 tahun. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi ditalian 017 8716060, 0122977220 dan 0172004249.